Laman Web Majlis AIDS Malaysia (MAM) meletakkan tanda amaran di halaman hadapannya, bahawa pada masa ini dianggarkan setiap hari kira-kira 10 rakyat negara ini dikesan dijangkiti HIV positif (Human Immunodeficiency Virus) iaitu sejenis virus dari kumpulan retrovirus yang menghasilkan jangkitan sepanjang hayat kepada pesakit.
Statistik yang ada di negara kita tentang mereka yang dijangkiti agak membimbangkan walaupun dikatakan pencapaian usaha advokasinya lebih baik dari sasaran yang ditetapkan dalam Milennium Development Goal (MDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu secara global. MDG digariskan sejak tahun 2003 melalui Resolusi 58/133 untuk dicapai menjelang 2015 nanti.
Data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan seramai 33.4 juta orang di seluruh dunia dijangkiti HIV pada tahun 2008 sekali gus menjadikan ia penyakit jangkitan utama yang membunuh lebih dua juta orang pada tahun tersebut.
Di Malaysia, statistik antara tahun 1986 hingga Jun 2008 menunjukkan sebanyak 86,127 orang dijangkiti HIV dan lebih daripada 14,000 kes AIDS dengan bilangan lelaki yang dijangkiti HIV melebihi 78,000 orang, berbanding dengan data dunia yang menunjukkan wanita lebih banyak menjadi mangsa.
Bilangan terbesar mereka yang terlibat dikatakan berusia antara 20 hingga 39 tahun yang menjangkau lebih daripada 60,000 orang. Ini tentunya amat merugikan negara kerana usia lingkungan belia itu sepatutnya menjadi sumber manusia produktif dan penyumbang utama pembangunan negara. Itu belum lagi mengambil kira bilangan penagih dadah di negara kita.
Dianggarkan seramai 105, 439 orang hidup dengan virus HIV manakala 13,394 orang mati di negara ini disebabkan oleh Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit atau AIDS (Acquired Immuno Deficiency Syndrome).
Sudah sampai masanya, masalah pihak-pihak berkenaan berganding bahu dengan profesional, pakar perubatan dan mereka yang arif untuk sama-sama mencari jalan terbaik menanganinya secara tuntas, berhemah dan bijaksana.Hanya dengan keprihatinan semua pihak melalui gabungan tenaga, kepakaran dan pemikiran bersama dapat membantu menangani apa jua masalah sosial yang ada daripada hanya menyerahkan kepada pihak berkuasa dan pertubuhan yang berkaitan semata-mata. Ia menunjukkan keprihatinan dan tindakan yang berterusan untuk faedah semua.
The Admiral: Roaring Currents (2014)
8 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan