Fenomena sumbang mahram boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang masih hangat di Malaysia. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, acapkali berita tentang terjadinya sumbang mahram terhias di dada-dada akhbar. Banyak juga Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat khasnya melaungkan suara-suara perjuangan mereka. Ini terutama sekali kerana mangsa yang terlibat adalah seringkali merupakan kanak-kanak perempuan atau gadis di bawah umur.
Definisi Sumbang Mahram
Mengikut pengertian Kamus Dewan perkataan ‘sumbang’ membawa erti ‘tidak mematuhi adat (kebiasaan, kesopanan dan lain-lain), melanggar adat, tidak sopan’. Perkataan ‘mahram’ pula adalah merupakan variasi kepada perkataan ‘muhrim’ yang membawa erti ‘laki-laki dan perempuan yang diharamkan berkahwin menurut agama Islam’. Dalam pada itu, dari perkataan sumbang juga terdapat beberapa frasa iaitu ‘sumbang balai melintang’ yang bermaksud ‘berzina dengan orang yang tidak boleh dikahwini (pada agama dan adat). ‘Sumbang kadim’ yang bererti ‘berzina dengan keluarga yang rapat’ dan ‘sumbang pati’ juga membawa erti ‘ berzina dengan saudara sendiri’.
Undang-undang Berkaitan Sumbang Mahram
Mengikut Undang-Undang Sivil Malaysia, sumbang mahram didefinisikan sebagai “apabila seorang lelaki atau perempuan melakukan persetubuhan dengan orang lain di mana hubungan lelaki dan perempuan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan yang berkait bagi lelaki dan perempuan tersebut, untuk berkahwin dengan orang itu”. Di Mahkamah Syariah pula, Seksyen 2 Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (1997), Selangor (1995), Pulau Pinang (1996), Johor (1997) dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 pula telah mentakrifkan sumbang mahram sebagai perbuatan atau siri perbuatan yang dianggap bertentangan dengan hukum syarak di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang ditegah berkahwin.
Seksyen 2 Enakmen Jenayah Syariah (1992) untuk Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak pula telah memberikan takrifan sumbang mahram sebagai perbuatan atau siri perbuatan yang bertentangan dengan Hukum Syarak di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang diharamkan berkahwin sama ada di kalangan muabbad (haram nikah buat selama-lamanya) atau ghairu muabbad (haram nikah buat sementara).
Statistik Sumbang Mahram Di Malaysia
Statistik menunjukkan bahawa kanak-kanak dan remaja lelaki sering dicabuli di luar kawasan rumah sementara gadis dan kanak-kanak perempuan seringkali dicabuli dalam atau sekitar kawasan rumah. Namun begitu statistik yang didapati berkemungkinan adalah tidak tepat kerana terdapat kemungkinan kes-kes kejadian tidak dilaporkan atas beberapa sebab seperti diancam oleh pelaku, rasa malu kerana pandangan rendah daripada masyarakat sekeliling dan tidak tahu kepada siapa dan bagaimana untuk melaporkan kejadian.
30% dari kes rogol adalah melibatkan perbuatan sumbang mahram dan pelaku yang paling kerap adalah ayah kandung (48%) sementara bapa tiri pula 24.4% dan pelaku pula berumur di antara 18 hingga 65 tahun. Sementara itu mangsa pula adalah merupakan gadis-gadis di antara umur 11 hingga 15 tahun dan mewakili 54.9% daripada mangsa yang terlibat. Menurut Polis Diraja Malaysia (2003), berikut adalah statistik kes sumbang mahram di antara 1997 hingga 2002:
Jadual Kes Sumbang Mahram di Malaysia
TAHUN JUMLAH KES
1997 247
1998 317
1999 275
2000 213
2001 246
2002 298
Biarpun jumlah kes yang dicatatkan masih berada di bawah angka 300, namun ia mungkin tidak menggambarkan apa sebenarnya terjadi kerana kebanyakan kes yang dilaporkan adalah yang melibatkan gadis bawah umur.
Sumber:
Polis DiRaja Malaysia
Jabatan Agama Islam Malaysia
The Admiral: Roaring Currents (2014)
8 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan