Isnin, 7 Februari 2011

Pembuangan bayi

Di akhir-akhir ini berita buang bayi kerap sangat kedengaran di negara kita ini.hampir setiap hari kita mendengar kes pembuangan bayi yang berlaku di media cetak mahupun elektronik. Statistik kes ini menunjukkan peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun dan bukan lah sesuatu yang boleh di banggakan bagi Malaysia sebagai sebuah negara Islam.



Faktor Penyebab

1.Kehidupan generasi muda masa kini yang bertunjangkan keseronokan duniawi telah mengheret mereka ke kancah pergaulan bebas tanpa mengira batas-batas agama. Akibat terlalu ghairah mengejar kenikmatan dunia, ada di kalangan masyarakat di luar sana yang alpa sehingga terjebak dengan perbuatan zina sehingga mengandungkan anak luar nikah. Apabila tiada pegangan agama, inilah akibatnya apabila pasangan tersebut menghalalkan perbuatan haram dengan melakukan penzinaan. Akibat perbuatan haram pasangan tersebut, bayi yang tak berdosa menjadi mangsa kezaliman dunia.

2.Pergaulan bebas lelaki perempuan itu adalah satu perkara yang mendekatkan kepada zina yang sepatutnya anggota masyarakat membenci dan membenterasnya secara bersungguh-sungguh. Kalau di zaman dulu terutamanya di kampung-kampung, seorang wanita berjalan seiring dengan seorang lelaki tanpa ada orang ketiga boleh dianggap salah dan dilarang, tetapi zaman sekarang kalau lelaki dan wanita berjalan berpimpin tangan atau berjalan sambil berpelukan sudah menjadi perkara biasa kepada kita.

3.Dalam perkara membuang bayi ini kita sebagai anggota masyarakat harus juga dipersalahkan. Kita selalunya memandang hina kepada mereka yang mengandungkan anak luar nikah tetapi kita tidak pernah memandang hina kepada anak-anak muda yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Padahal pergaulan bebas inilah punca sebenar kepada masalah buang bayi ini. Kita tidak pernah melarang dan mencaci anak-anak muda kita yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Di dalam Quran, Tuhan bukan sahaja melarang perbuatan zina tetapi perkara-perkara yang mendekatkan kepada zina juga turut dilarang.

4.Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup remaja telah menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan dan seterusnya terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas dan sebagainya. Remaja yang melibatkan diri dalam gejala pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sudah semestinya menjalinkan hubungan di luar tabii. Hal ini telah menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum ada ikatan yang sah. Dalam situasi tersebut, remaja yang hilang pegangan agama tidak teragak-agak untuk membuang dan meninggalkan anak mereka selepas dilahirkan.

5.Pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan masalah kes pembuangan bayi dalam kalangan remaja berlaku. Hal ini kerana, pada usia muda lagi, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Hal ini menjadi bertambah teruk apabila mereka bergaul dengan rakan sebaya yang negatif dan tidak bermoral. Rakan-rakan yang negatif ini tidak teragak-agak mengajak remaja untuk melakukan perkara-perkara di luar batasan agama dan norma masyarakat seperti pergi ke tempat hiburan, menghisap dadah, melepak, melakukan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut, tanpa segan silu melakukan hubungan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuang bayi mereka demi mengelakkan maruah diri dan keluarga tercemar.

6.Sikap ingin tahu tentang sesuatu memang wujud dalam diri remaja. Biasanya, mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin diterokai oleh mereka. Remaja berfikiran bahawa mereka menjadi lebih matang sekiranya mencuba benda yang jarang dilakukan oleh orang lain, lebih-lebih lagi seks rambang. Mereka juga beranggapan bahawa diwaktu usia remajalah mereka patut berseronok dan bergembira sehingga melakukan perkara seperti seks bebas ini. Sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu ini sebenarnya tidak mengetahui baik dan buruknya serta akibat yang bakal diterima mereka. Sebagi remaja yang matang, mereka mestilah berfikiran rasional dan bijak dalam menilai sesuatu perkara supaya tidak menyesal dikemudian hari. Bak kata pepatah, “ sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya ”.

Penulis telah berjaya mencari langkah-langkah terbaik bagi mengatasi masalah pembuangan bayi ini. Antara langkah-langkahnya adalah peranan ibubapa itu sendiri, peranan sekolah, pencegahan yang dilakukan sebelum berlaku apa-apa yang tidak diingini, dan memberi bantuan kepada remaja perempuan yang hamil luar nikah. Penulis yakin dengan langkah-langkah yang diperolehi ini mampu mengurangkan masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja ini. Justeru itu, semua pihak perlulah berganding bahu dalam membendung gejala sosial itu agar tidak ada lagi anak-anak luar nikah yang dilahirkan terbiar dan tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan